ANGGOTA bomba mengeluarkan pekerja kimpalan paip yang maut tertimbus runtuhan tanah di sebuah tapak projek di Jalan Renggam-Bukit Benut di Kluang Johor, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan pekerja kimpalan paip yang maut tertimbus runtuhan tanah di sebuah tapak projek di Jalan Renggam-Bukit Benut di Kluang Johor, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pekerja kimpalan paip maut tertimbus runtuhan tanah di sebuah tapak projek di Jalan Renggam-Bukit Benut di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.34 petang itu, mangsa Rostam Amiruddin Hassan, 59, disahkan maut ditempat kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Nizar Mamun berkata, enam anggota dan sebuah jentera FRT dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati seorang mangsa tertimbus di dalam runtuhan tanah.

"Sebelum itu mangsa menjalankan kerja kimpalan paip bawah tanah pada kedalaman kira-kira tiga meter di tepi jalan.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan sebuah jentolak namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 8:18 PM