Sandrea Ng Shy Ching menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN.
Sandrea Ng Shy Ching menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN.
BERNAMA

Ipoh: Kerajaan Perak berusaha mempergiatkan promosi bagi menarik seramai mungkin pelancong dan pelabur ke Ipoh lebih-lebih lagi selepas bandar raya itu diletakkan di tempat pertama dalam senarai 18 of Asia's Most Underrated Places oleh portal CNN Travel.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihaknya akan memanfaatkan pelbagai platform untuk memperkenalkan Ipoh supaya lebih ramai berpeluang mengunjungi dan mengalami sendiri keistimewaan bandar raya ini.

"Ipoh memang selama ini dikenali dari segi sejarah, daya tarikan, makanan dan suasana yang tersendiri.

"Usaha juga akan dipertingkatkan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur dan mempelbagaikan destinasi pelancongan sebagai persediaan menerima lebih ramai pengunjung dalam masa akan datang," katanya kepada Bernama.

Senarai 18 tempat paling underrated itu sekali gus memberi pendedahan dan penghormatan kepada setiap destinasi berkenaan yang disifatkan memiliki nilai pelancongan yang bagus tetapi masih kurang mendapat perhatian sewajarnya.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, Ipoh disenaraikan di tangga pertama sebagai tempat menarik paling kurang dinilai di Asia oleh portal CNN Travel.

Beliau dilaporkan berkata, penilaian itu amat bermakna dan diterjemahkan sebagai pengiktirafan, di samping dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Ipoh sempena Tahun Melawat Ipoh 2023.

Ipoh dan Petaling Jaya dilaporkan dalam senarai dua kawasan di negara ini dengan jumlah carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang sedang mencari hartanah kediaman untuk dijual di laman web iProperty.com.my, antara Januari hingga November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 12:11 PM