Zatul Iffah Zolkiply dan Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menggerakkan aset dan anggotanya ke negeri di Pantai Timur yang dilanda banjir ketika ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, ia bagi mengatasi isu kekurangan aset untuk kegunaan logistik termasuk membawa bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terputus hubungan.

Katanya, banjir luar jangka yang berlaku di negeri Pantai Timur terutama di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan menyebabkan berlaku isu kekurangan makanan di PPS tertentu dan kekurangan aset untuk logistik.

"Selain bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), saya meminta agar ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang mempunyai aset yang boleh dimobilisasikan (digerakkan ke kawasan ditimpa banjir) kerana aset-aset itu berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir ini ialah di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Oleh kerana aset itu agak berkurangan di ketiga-tiga negeri ini maka saya minta Mindef khususnya Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk meminta Panglima ATM dan Panglima Tentera Darat menggunakan segala aset yang ada untuk dipindahkan sementara waktu untuk kegunaan di sini.

"Yang keduanya, oleh kerana kerosakan jalan dan ada jambatan yang putus, maka saya yakin KOR JuruteraTentera Darat dan Markas Angkatan Bersama Tentera boleh juga membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut sempena lawatan ke PPS Bencana Banjir Daerah Besut di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mendengar taklimat pengurusan bencana banjir daerah Besut di Pejabat Daerah Besut.

Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Bencana Pusat akan mengkoordinasikan bantuan-bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang sudah diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan peruntukan yang sedia ada untuk dimobilisasikan sepenuhnya

"Insya-Allah koordinasi antara Nadma dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang dilakukan yang mana Perdana Menteri sendiri amat prihatin dan jika keperluan mendesak maka peruntukan tambahan akan diturunkan dengan segera.

"Saya harap kerajaan negeri dan juga melalui SUK dapat mengkoordinasikan dengan peringkat Jawatankuasa Bencana Pejabat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir yang terdapat di ketiga-tiga negeri ini," katanya.

MOHAMAD (tiga kanan) menyampaikan bantuan makanan anggota Angkatan Tentera Malaysia di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong. FOTO Ghazali Kori
MOHAMAD (tiga kanan) menyampaikan bantuan makanan anggota Angkatan Tentera Malaysia di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 8:27 PM