KEADAAN banjir di Kampung Pasir Gajah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
KEADAAN banjir di Kampung Pasir Gajah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Hanya 82 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman berikutan kediaman mereka yang masih dinaiki air.

Sehingga 5 petang, hari ini semua mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, semua mangsa ditempatkan di Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Surau Haji Othman dan SK Bukit Mentok.

Katanya, ia menunjukkan penurunan berbanding 876 mangsa daripada 273 keluarga di lapan PPS, 12 tengah hari tadi.

"Ketika ini, keadaan cuaca hujan renyai di beberapa tempat dan kita sentiasa bersedia dengan sebarang situasi banjir.

"InsyaAllah, rentetan daripada cuaca yang agak baik di sebahagian daripada negeri Terengganu, mangsa-mangsa yang terbabit akan kembali ke rumah masing-masing.

"Berdasarkan laporan semasa daripada pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran cuaca kategori waspada (kuning) masih lagi berkuat kuasa di sebahagian besar kawasan di Terengganu membabitkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

"Bagi pihak sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana, kita sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Sementara itu, hanya Sungai Kemaman di stesen Paya Paman melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.83 meter.

Bagaimanapun, ia menunjukkan trend menurun sementara tiga sungai lagi kini direkodkan melepasi paras amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 6:11 PM