GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Seorang pemuzik ditahan selepas mematahkan palang automatik di sebuah kondominium di daerah ini, kelmarin, selepas tidak dibenarkan masuk akibat tidak membuat bayaran penyelenggaraan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang eksekutif, 36, pada 12.35 tengah hari, kelmarin.

"Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang lelaki berusia 55 tahun berkenaan memintanya membuka pintu pagar automatik untuk masuk ke dalam kondominium.

"Namun, pengawal keselamatan tidak membenarkannya untuk meletak kenderaan dalam kawasan kondominium kerana terdapat tunggakan bayaran penyelenggaraan sebanyak RM6,448.

"Suspek kemudian bertindak mematahkan palang pintu pagar automatik dan terus masuk. "Syarikat pengadu mengalami anggaran kerugian RM1,500 akibat kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pemuzik di perkarangan Balai Polis Pandan Indah jam 8.50 malam.

"Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan didapati negatif dadah.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 4:59 PM