GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Lelaki berhalusinasi akibat dadah menendang kakaknya serta mengugut mahu membunuh anak saudaranya di Taman Tasik Tambahan di sini, 2.45 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 22 tahun ditahan polis selepas panggilan kecemasan dilakukan oleh ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku ketika suspek datang ke rumah mangsa sebelum masuk melalui ruang tamu dan terus mengamuk memarahi kakaknya.

Menurutnya, suspek kemudian ke dapur dan mengambil pisau sebelum mengacukannya ke arah anak saudaranya berusia 17 tahun serta menggugut mahu membunuhnya.

"Susulan itu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan bergegas ke lokasi dan membuat tangkapan terhadap suspek.

"Hasil tangkapan itu, sebilah pisau berwarna perak yang digunakan suspek semasa kejadian turut dirampas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

"Suspek adalah anak bongsu daripada sembilan adik beradik dan tidak bekerja serta masih belum berkahwin.

"Ini juga adalah kejadian kedua yang mana sebelum ini, suspek pernah dituduh dan menjalani hukuman selama tiga bulan kerana mengugut bunuh mangsa sama," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 4:25 PM