Nabihah Kamal  

 

Ampang: Samun pelanggan restoran yang menikmati makan malam dan kerugian dianggarkan RM29,745.70. 

Itu yang berlaku di restoran di Ukay Boulevard, Taman Melawati, Hulu Klang, di sini, semalam, malah video daripada kamera litar tertutup (CCTV) kejadian 9 malam itu tular hari ini sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi berkata, suspek terdiri daripada enam lelaki  yang bersenjatakan parang. 

"Ketika kejadian, lapan pelanggan dan pekerja restoran didatangi enam lelaki bersenjatakan parang menyamun mangsa di dalam restoran berkenaan.  

"Suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan barangan berharga.  

"Enam suspek melarikan diri dengan menunggang tiga motosikal Yamaha LC dan  kerugian dianggarkan RM29,745.70," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, seorang daripada pelanggan yang menjadi mangsa samun itu berkata, kejadian berlaku pantas dan dia turut mendengar penyamun berkenaan memarahi pemilik restoran kerana tidak membayar wang perlindungan.  

Katanya, dia dan rakan makan malam di restoran berkenaan sebelum didatangi penyamun memakai topi keledar dan bersenjatakan parang. 

"Dia(penyamun) gertak saya sambil pegang parang dan meminta saya serahkan barang saya.  

  "Dalam keadaan panik dan takut saya beri beg tangan saya. Lelaki itu turut meminta dompet dan telefon bimbit rakan saya," katanya yang enggan dikenali. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 11:04 PM
Kumpulan lelaki bertopi keledar bersenjatakan parang menyerbu masuk merompak pelanggan yang sedang makan.
Kumpulan lelaki bertopi keledar bersenjatakan parang menyerbu masuk merompak pelanggan yang sedang makan.