ANTARA yang diperiksa dalam Op Khas Saman Warganegara Asing malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA yang diperiksa dalam Op Khas Saman Warganegara Asing malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Ampang mengeluarkan 77 saman dan 11 kenderaan disita dalam Op Khas Saman Warganegara Asing dan sekatan jalan raya di Jalan Putra, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi yang bermula jam 9 malam bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna kenderaan yang ditunggang dan dipandu oleh warganegara asing.

Menurutnya,kebanyakannya tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Keadaan ini bukan hanya turut membahayakan diri sendiri tetapi turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Hasil dari operasi itu sebanyak 33 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu dan 44 saman lagi atas pelbagai kesalahan trafik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 11 kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa balik ke Balai Polis BSPT Ampang Jaya untuk proses panggil pemilik yang sah untuk tindakan selanjutnya.

"BSPT Ampang Jaya akan meneruskan operasi penguatkuasaan seumpama ini pada bila-bila masa untuk memastikan pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 5:41 PM