POLIS menjalankan operasi motosikal di sekitar daerah Ampang Jaya malam tadi. FOTO ihsan polis
POLIS menjalankan operasi motosikal di sekitar daerah Ampang Jaya malam tadi. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menyita 19 motosikal dan mengeluarkan 102 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi di sekitar daerah ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi dijalankan bermula 9.30 malam hingga 12.30 tengah malam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya di kawasan Jalan Tasik Permai dan di laluan lorong motosikal Lebuhraya SUKE.

Menurutnya, operasi itu bertujuan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu-lintas terutamanya motosikal ditunggang warga asing.

"Selain itu, operasi juga menumpukan perhatian kepada golongan remaja yang sering dilihat melakukan pengubahsuaian pada struktur kenderaan.

"Hasil daripada operasi ini, sebanyak 102 saman dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah, brek tidak berfungsi dengan baik dan kesalahan-kesalahan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, selain itu, sebanyak 19 motosikal ditahan dan dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan panggil pemilik.

"Kesemua kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

"Adalah dinasihatkan kepada semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan," katanya.

Beliau berkata, elakkan memberi kenderaan kepada warga asing untuk digunakan tanpa lesen memandu yang sah.

"Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang. Utamakan keselamatan dan sayangi nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 12:31 PM