DUA individu ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk dalam  Operasi Mabuk di Lebuhraya Darul Aman, di sini, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
DUA individu ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk dalam Operasi Mabuk di Lebuhraya Darul Aman, di sini, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


BAHAGIAN Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Setar menahan lelaki dan wanita selepas masing-masing memandu dalam keadaan mabuk dalam Operasi Mabuk di Lebuhraya Darul Aman, di Alor Setar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi dari 11 malam hingga 4 pagi ini dijalankan BSPT Daerah Kota Setar membabitkan seorang pegawai, lima anggota trafik serta enam anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya menahan wanita berusia 36 tahun dan lelaki, 26, selepas mereka memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil ujian pernafasan menunjukkan mereka positif alkohol yang melebihi had ditetapkan.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, pengguna jalan raya dinasihati tidak mengambil jalan mudah dengan memandu di bawah pengaruh alkohol kerana boleh membahayakan pengguna jalan raya lain serta boleh menyebabkan kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 10:19 AM