GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Dua individu termasuk remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan pada serbuan di berasingan di Matang Jaya di sini, semalam kerana terbabit sebagai

bookie bola sepak Piala Dunia dan ejen nombor loteri haram.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, remaja perempuan itu ditahan pada serbuan pertama di sebuah premis makanan jam 3.45 petang dijalankan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

"Suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola serta ejen menjual loteri tanpa lesen.

"Kami turut merampas dua telefon bimbit, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang RM420," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek mengaku melakukan kedua-dua perbuatan terbabit.

Beliau berkata, pada serbuan kedua di sebuah gerai menjual buah-buahan jam 4.45 petang, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun.

"Suspek turut dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen menjual loteri tanpa lesen.

"Kami turut merampas dua telefon bimbit dan wang RM540," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 1:28 PM