Suspek yang ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO ihsan PDRM
Suspek yang ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian dan pertaruhan bola sepak menerusi serbuan Op Soga VIII di Taman Bukit Indah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya bersama pakar judi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta pegawai forensik Bukit Aman membuat serbuan di lokasi terbabit jam 12.30 tengah malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 41 tahun selain merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai berjumlah RM100,000 serta dua komputer yang memaparkan pertaruhan judi dalam talian menggunakan laman sesawang GTR368 dan Uwin33.

"Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam pengendalian perantis yang digunakan untuk permainan judi dalam talian dan ejen nombor ekor haram sejak kira-kira tiga tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, analisa pakar judi ke atas barang kes yang dirampas itu mengesyaki terdapat unsur-unsur berkaitan perjudian dalam talian.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 7 Julai nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)c Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4A(a) akta sama.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram. Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:03 PM