ANTARA barang rampasan yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang rampasan yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Polis menahan lapan individu yang terbabit dengan kegiatan loteri haram, pertaruhan lumba kuda tidak sah serta judi mahjong dalam dua serbuan berasingan di Damansara dan Sungai Way, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan tiga individu berusia antara 38 hingga 70 tahun kerana terbabit dalam penjualan loteri haram.

"Serbuan di Kampung Kayu Ara dan Taman Medan itu turut mendapati individu terbabit menjadi bookie pertaruhan lumba kuda.

"Pasaran sindiket ini adalah penduduk setempat dan mensasarkan penduduk tempatan serta warga asing sebagai pelanggan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, serbuan kedua yang dilakukan di sebuah rumah di Damansara berjaya menahan lima individu berusia antara 57 hingga 79 tahun kerana bermain judi mahjong.

"Polis merampas wang tunai RM811 dipercayai wang hasil pertaruhan perjudian dan pelbagai peralatan bermain mahjong.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(3)(a) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:17 PM