Polis memberkas tujuh individu termasuk tiga penjual nombor loteri ketika mengadakan serbuan di belakang sebuah kedai di Jalan Limau Manis, Bukit Mertajam, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Polis memberkas tujuh individu termasuk tiga penjual nombor loteri ketika mengadakan serbuan di belakang sebuah kedai di Jalan Limau Manis, Bukit Mertajam, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Beri alasan mahu membeli makanan dan berjumpa rakan, namun ia hanya helah supaya perbuatan aktiviti mereka membeli nombor ekor tidak disedari pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar apabila polis menahan tujuh lelaki termasuk tiga penjual loteri dalam serbuan di belakang sebuah kedai di Jalan Limau Manis, di sini, kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika serbuan, terdapat empat lelaki berusia 36 hingga 58 tahun sedang berurusan dengan tiga penjual loteri berusia 28 hingga 41 tahun.

"Pemeriksaan membongkarkan kegiatan penjualan loteri awam tidak berlesen dan mereka ditahann untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga penjual mengaku bekerja sebagai pencatit loteri sejak Jun tahun lalu, manakala pembeli pula mengaku sebagai pelanggan tetap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis merampas tiga telefon bimbit, sebuah pencetak, wang tunai RM1,610 dan empat keratan kecil kertas tercetak angka-angka dan huruf-huruf disyaki tiket pertaruhan.

Katanya, semakan mendapati tiga penjual yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A (a) serta Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:54 PM