BERNAMA

Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2023 dengan defisit lebih tinggi sebanyak RM467.12 juta berbanding defisit tahun ini yang berjumlah RM449.80 juta.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bajet berdefisit ini perlu dilaksanakan mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha untuk melonjakkan pembangunan negeri selain memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.

"Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2023 berjumlah RM522.35 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM989.47 juta, ini akan menjadikan Bajet 2023 mengalami defisit sebanyak RM467.12 juta.

"Anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta yang dijangka dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Kon Yeow berkata jumlah keseluruhan rizab kerajaan negeri setakat akhir tahun 2021 adalah berjumlah RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan.

Katanya perbelanjaan mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2023 berjumlah RM989.47 juta adalah peningkatan sebanyak RM54.25 juta berbanding tahun 2022.

Katanya antara punca utama peningkatan perbelanjaan mengurus tahun 2023 adalah berikutan pertambahan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM40 juta, iaitu caruman sebanyak RM240 juta pada tahun 2023 berbanding RM200 juta pada tahun 2022.

CHOW Kon Yeow ketika ditemuramah selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Georgetown. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow ketika ditemuramah selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Georgetown. FOTO Mikail Ong

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2023 adalah berjumlah RM522,353,370 iaitu pertambahan sebanyak RM36.93 juta atau 7.61 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2022 sebanyak RM485.42 juta.

"Komposisi hasil tahun 2023 terdiri daripada hasil cukai RM165.65 juta atau 31.71 peratus, hasil bukan cukai RM253.93 juta atau 48.61 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM102.77 juta atau 19.68 peratus.

"Punca peningkatan utama hasil sebanyak RM36.93 juta yang dijangka pada tahun 2023 berbanding hasil tahun 2022 adalah daripada sumber hasil bukan cukai melibatkan Lesen dan Permit dan Keuntungan Pembiayaan dan Perolehan Pelaburan," katanya.

Dalam pembentangan bajet yang bertemakan 'Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat' itu, Chow turut memaklumkan pemberian diskaun premium bagi pelanjutan tempoh pegangan pajakan dan pemberimilikan disebabkan tempoh pegangan pajakan telah tamat.

Katanya pemberian diskaun premium dari serendah 50 peratus sehingga 90 peratus dinilai atas nilaian tanah semasa sahaja tanpa mengambil kira struktur yang berada di atas tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:48 PM