Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 di Dewan Sri Pinang di sini. Pihak media tidak dibenarkan untuk membuat liputan berikutan penularan COVID-19. FOTO  DANIAL SAAD
Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 di Dewan Sri Pinang di sini. Pihak media tidak dibenarkan untuk membuat liputan berikutan penularan COVID-19. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Belanjawan 2021 Pulau Pinang sekali lagi mengalami defisit berjumlah RM403.80 juta iaitu lebih tinggi berbanding dengan unjuran defisit tahun ini berjumlah RM273.5 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika membentangnya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini memaklumkan bahawa defisit itu berlaku berikutan kutipan hasil negeri bagi tahun hadapan dijangka tidak menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada 2021 berjumlah RM506.02 juta iaitu jangkaan jumlah hasil sedikit kurang berbanding tahun semasa yang berjumlah RM519.2 juta.

"Penurunan hasil ini adalah kerana sumber kerajaan negeri yang terhad dan tiada punca hasil baharu untuk tahun 2021.

"Kerajaan negeri masih perlu mengekalkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri setara dengan 2020 supaya jentera pentadbiran dapat berfungsi dengan efektif serta membolehkan segala projek pembangunan yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat dapat diteruskan," katanya.

Menurutnya, perbelanjaan mengurus bagi tahun depan dianggarkan berjumlah RM909.82 juta yang ia membabitkan perbelanjaan bekalan sebanyak RM875.51 juta bagi 20 jabatan dan RM34.31 juta untuk perbelanjaan tanggungan yang diperlukan tiga jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.

"Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM506.02 juta dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM909.82 juta, maka ia menjadikan Belanjawan 2021 mengalami defisit sebanyak RM403.80 juta.

"Unjuran defisit ini akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM1.07 bilion pada akhir 2018." katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, perbelanjaan mengurus juga turut merangkumi perbelanjaan bagi emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan-perbelanjaan lain.

"Perbelanjaan mengurus meningkat pada setiap tahun namun kenaikan perbelanjaan ini adalah pada tahap terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 4:48 PM