Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang 2023 tidak akan diawalkan dan akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pertengahan November ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menyangka Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober 2022 akan dibentang tiga minggu lebih awal.

"Bagaimanapun, kita tengok senario yang akan berlaku sama ada bajet dibentangkan dan Parlimen akan dibubarkan dengan serta merta atau selepas dibentangkan akan diberi masa untuk bahas sehingga dibawa ke Dewan Negara untuk diluluskan.

"Jadi saya rasa jadual negeri sebenarnya tidak berkaitan dengan Persekutuan melainkan jika Parlimen dibubarkan, (kerajaan) negeri perlu buat keputusan sama ada kita bubar atau tidak jadi. Pada masa ini kita ikut jadual kita sebab terlalu banyak ketidakpastian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

KON Yeow ketika sidang media selepas majlis perasmian Kejohanan E-Sport LovePenang. FOTO Mikail Ong
KON Yeow ketika sidang media selepas majlis perasmian Kejohanan E-Sport LovePenang. FOTO Mikail Ong

Kon Yeow berkata, pernah berlaku pada 1999 iaitu selepas bajet dibentangkan perbahasan sudah dimulakan pertengahan jalan dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya (PRU) sebelum bajet diluluskan.

"Maknanya pada tahun berkenaan bajet dibentang semula setelah PRU sehingga perbahasan bajet berlarutan sehingga Januari.

"Itu amat luar biasa kebetulan saya pada penggal itu masuk sebagai Ahli Parlimen buat kali pertama jadi ingatlah peristiwa penting itu," katanya.

Beliau berpendapat, Bajet 2023 adalah perancangan kewangan negara yang amat penting dan seharusnya mendapat kelulusan Parlimen sebelum ia dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya.

"Jadi spekukasi adakah ia akan berlaku pada kali ini (pembubaran) iaitu setelah pembentangan saya tidak nampak apa logiknya namun kalau (Parlimen) dibubarkan juga ia akan mengulangi apa yang berlaku pada 1999," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, memandangkan bahang PRU dirasakan semakin hampir ditambah dengan faktor Bajet 2023 diawalkan beliau mengarahkan segala gerak kerja persiapan menghadapi PRU dipercepatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 2:08 PM