PERSIMPANGAN susur keluar berhampiran pekan Bandar Baru Sungai Buloh yang berbahaya kepada kenderaan disebabkan tanpa lampu isyarat. - Gambar NSTP/HAZREEN MOHAMAD
PERSIMPANGAN susur keluar berhampiran pekan Bandar Baru Sungai Buloh yang berbahaya kepada kenderaan disebabkan tanpa lampu isyarat. - Gambar NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Sungai Buloh: Pernah dikelilingi kampung dan estet sawit dua dekad lalu namun daerah Sungai Buloh kini maju serta menjadi pilihan warga kota membeli kediaman mampu milik.

Rangkaian jaringan yang baik seperti lebuh raya, Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) selain kemudahan hospital dan pusat pengajian, menarik minat pemaju hartanah untuk membangunkan pelbagai projek termasuk pusat beli-belah serta perumahan.

Namun di sebalik arus pemodenan dinikmati itu, penduduk daerah ini masih berdepan pelbagai isu dan permasalahan yang memerlukan perhatian kerajaan.

Anak jati Sungai Buloh, Mohd Afifi Zaidi, 35, berkata, mereka masih berdepan isu pendatang asing tanpa izin (Pati) yang semakin ramai 'menjajah' daerah itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, golongan itu bukan sahaja memonopoli kawasan penempatan sekitar Sungai Buloh malah turut 'menguasai' sektor perniagaan yang sepatutnya diusahakan penduduk tempatan.

"Sebenarnya golongan Pati semakin ramai beranak pinak di sini hinggakan penduduk berasa kurang selamat dan tidak selesa.

"Golongan Pati ini juga membuka perniagaan sendiri seperti kedai runcit dan kedai makan yang jelas melanggar peraturan," katanya kepada Harian Metro.

Selain isu Pati, pemilik restoran itu berkata, masyarakat setempat turut berdepan isu kemudahan infrastruktur seperti jalan berlubang dan tiada lampu jalan.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat di laluan antara Damansara Damai ke Bandar Baru Sungai Buloh melalui Jalan Kuala Selangor - Kepong.

Tambahnya, keadaan itu bukan saja membahayakan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam, tetapi menyumbang kepada berlakunya kemalangan maut.

"Saya tidak menafikan wakil rakyat sebelum ini ada 'turun padang' mendengar masalah penduduk. Namun apa yang kita harapkan adalah isu ini dapat diselesaikan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nurul Aini Abd Rashid, 59, mengharap pemimpin dipilih kelak dalam kalangan individu berjiwa rakyat yang mesra dan rapat dengan penduduk setempat.

Menurutnya, wakil rakyat perlu rajin turun padang dan jujur membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

PARKIR berhampiran premis perniagaan di pekan Bandar Baru Sungai Buloh menimbulkan kesesakan pada waktu puncak.
PARKIR berhampiran premis perniagaan di pekan Bandar Baru Sungai Buloh menimbulkan kesesakan pada waktu puncak.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia, Lynnda Abbas, 54, berkata, wakil rakyat yang bakal dilantik perlu rajin membantu asnaf dan golongan memerlukan di kawasan itu dengan tidak meletakkan tanggungjawab terbabit kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepenuhnya.

Lynnda berkata, penduduk sudah penat mendengar isu politik sebaliknya mahukan wakil rakyat yang dapat membantu ekonomi penduduk setempat dan mengatasi kemiskinan.

"Alhamdulillah, saya nampak perniagaan di sini banyak dimonopoli orang Melayu, tapi kalau boleh dibantu dari segi menstabilkan ekonomi," katanya yang menetap di Saujana Utama, Sungai Buloh.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon Bebas.

Saingan sengit di kerusi Parlimen itu membabitkan Khairy Jamaluddin daripada BN, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

MOHD Afifi.
MOHD Afifi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.

Untuk rekod, pada PRU-14 yang lalu, daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU-15.

Daripada jumlah berkenaan, 9.25 peratus pemilih golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 7:01 AM