RINA menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Pekan Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
RINA menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Pekan Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Dengkil: Jabatan Kebajikan Mssyarakat (JKM) sedang mengenalpasti beberapa lokasi baharu pusat pemindahan sementara (PPS) kerana ia bertindih dengan pusat pengundian pada Sabtu ini.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, secara keseluruhan sebanyak 6,010 PPS disediakan di seluruh negara namun, 2,100 daripadanya digunakan sebagai pusat pengundian.

Menurutnya, usaha itu terpaksa dilakukan susulan beberapa negeri dilanda banjir ketika ini dan kebanyakan mangsa tidak dapat ditempatkan di PPS sedia ada kerana berlaku pertindihan.

Katanya, beliau dimaklumkan mangsa banjir terpaksa ditempatkan di dewan orang ramai yang mempunyai keluasan terhad bagaimanapun kementeriannya akan memastikan semua mangsa banjir mendapat layanan yang baik dan ditempatkan di kawasan lebih selesa,," katanya ketika ditemui selepas meninjau PPS di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini hari ini.

Rina berkata, JKM sudah melakukan persiapan awal sejak September lalu terutama dari segi logistik, bekalan makanan dan keperluan lain seperti khemah, selimut dan bantal.

Menurutnya, dianggarkan 3,000 pegawai dan kakitangan JKM akan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan banjir di seluruh negara.

Mengulas situasi banjir di daerah Sepang terutama di Dengkil, beliau berkata, seramai 120 mangsa banjir kini ditempatkan di empat PPS masing- masing di Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Taman Gemilang dan Dewan Komuniti Dengkil.

"Kita berharap air semakin surut namun, saya dimaklumkan tren air semakin menaik disebabkan hujan di sebelah Kajang.

"Bagaimanapun, JKM dan agensi lain berkaitan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan jika keadaan bertambah buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:44 PM