FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Situasi banjir di Selangor kini reda selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Sepang dan Kuala Langat ditutup pada 2 petang hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Selangor (APM) memaklumkan seramai 213 mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS sudah pulang ke kediaman masing-masing.

"Semua empat PPS yang dibuka sejak 5 November lalu di Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat ditutup," katanya.

Sementara itu, di Perak jumlah mangsa semakin berkurangan dengan 423 penduduk daripada 127 keluarga berbanding 432 orang daripada 130 keluarga malam tadi yang masih ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, 169 orang daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan seramai 70 orang daripada 24 keluarga.

"Seramai 40 mangsa daripada 11 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

"Mangsa banjir di daerah Kerian pula berkurang kepada 87 orang daripada 21 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga masih kekal berlindung di PPS SK Alor Pongsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:25 PM