Anuar (dua dari kanan) menyantuni mangsa banjir di Dewan Komuniti Pekan Dengkil. Foto Samadi Ahmad
Anuar (dua dari kanan) menyantuni mangsa banjir di Dewan Komuniti Pekan Dengkil. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Dengkil: Penduduk terjejas akibat banjir di kawasan ini tidak perlu bimbang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi kerana Barisan Nasional (BN) menyediakan kenderaan bagi memudahkan mereka bergerak ke pusat pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok.

Calon BN Parlimen Sepang, Anuar Basiran berkata, inisiatif ini digerakkan jentera pilihan raya BN Sepang bagi memudahkan mangsa banjir sampai ke tempat pembuangan undi masing-masing.

Katanya, inisiatif itu bagi menunjukkan keprihatinan BN terhadap mangsa banjir.

"Kenderaan ini akan bersiap sedia di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di kawasan ini.

"Saya bersimpati dengan bencana yang berlaku dan berharap penduduk bersabar, " katanya selepas menyantuni mangsa banjir di Dewan Komuniti Pekan Dengkil di sini tadi.

Hujan lebat malam Rabu lalu menyebabkan Sungai Langat tidak dapat menampung kapasiti air hingga menyebabkan beberapa ban pecah.

Antara kawasan yang dilanda banjir adalah Kampung Cemperai, Kampung Seri Tanjung Kampung Sungai Buah, Jenderam Hilir, Kampung Revolusi Hijau dan Taman Delima di sini.

Anuar berkata, seramai 885 dari 226 keluarga yang terbabit banjir di kawasan ini sudah dipindahkan ke PPS.

Menurutnya, mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Balai Raya MPKK Taman Semarang, Balai Raya Sungai Buah, Dewan komuniti Pekan Dengkil, Balai Raya Kampung Bukit Tampoi, Balai Raya Batu 28 Jenderam Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali.

Katanya, BN sudah melancarkan Skuad Bencana Tanjung Sepat disertai lebih 20 kenderaan pacuan empat roda yang akan bergerak ke PPS bagi membantu penduduk serta menyalurkan barangan keperluan makanan.

"Selepas PRU-15 ini, sukarelawan juga akan digerakkan bagi membantu penduduk membersihkan rumah yang terjejas banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 12:34 PM