Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan warga Felda supaya tidak 'dipatuk ular dari lubang sama' sekali lagi, dengan memilih kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kedudukan mereka dari dulu.

Ismail Sabri berkata, sejak dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti sentiasa menjaga warga Felda, malah dianggap 'anak emas' kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, warga Felda diminta membandingkan nasib mereka ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan pentadbiran negara diterajui BN.

"Bagi saya kena (patuk ular) sekali sudahlah, jangan sesudah dipatuk ular tak sedar lagi masih ada ular di lubang yang sama lalu menghulurkan kaki (lagi).

"Kita tahu sudah pernah kena tipu, (jadi) kenapa kali kedua pun hendak kena tipu lagi?

"Selama ini yang menjaga kepentingan kita (peneroka Felda) adalah kerajaan diterajui BN, namun apabila ditadbir oleh PH yang tidak pengalaman selama 22 bulan, huru-hara seluruh Malaysia dan apa yang (peneroka) Felda dapat daripada PH?" katanya ketika pada Majlis Ramah Mesra beliau bersama Keluarga Felda Lasah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta calon mewakili BN dalam PRU-15 bagi Parlimen Sungai Siput serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tan Sri SA Vigneswaran (Parlimen), Datuk Mohd Zolkafly Harun (DUN Lintang) dan Pan Chean Chang (DUN Jalong)

.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, sepanjang pentadbiran PH selama 22 bulan menerajui negara, harga komoditi sawit jatuh merudum dalam sejarah.

Selain itu, katanya, India yang juga antara pengimport terbesar minyak sawit dari Malaysia menghentikan pembelian minyak sawit dari negara ini yang sekali gus merugikan peneroka Felda.

"Waktu itu bila (kerajaan) tidak tahu apa hendak dibuat, maka menteri yang berkenaan suruh rakyat minum minyak sawit.

"Disebabkan Perdana Menteri ketika itu, (Tun Dr Mahathir Mohamad) bergaduh dengan India, akhirnya peneroka yang jadi mangsa.

"Jadi kita (peneroka Felda) jangan cari azab, sebaliknya dalam hidup ini carilah yang senang, iaitu kerajaan BN dapat beri kesenangan.

"Kesenangan bukan sahaja untuk kita, tetapi turut meliputi generasi kedua dan ketiga Felda yang akan kerajaan jaga," katanya.

Dalam ucapan sama, Ismail Sabri turut mengumumkan insentif khas kepada 70 peneroka di Felda Lasah yang terjejas akibat serangan gajah melalui penghapusan nilai hutang sebanyak RM1.8 juta khusus disebabkan serangan mamalia itu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihaknya yakin peneroka Felda masih lagi dianggap sebagai simpanan atau 'deposit' tetap BN.

Katanya, kerajaan bukan hanya menjaga peneroka generasi pertama, malah meliputi generasi kedua serta generasi ketiga melalui pelbagai insentif.

"Saya amat berterima kasih kerana peneroka adalah penyokong setia dan penyokong kuat kerajaan BN, saya yakin sokongan kepada kerajaan ini akan terus kekal dalam setiap Pilihan Raya Umum nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 2:28 PM