Ismail Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Junita Mat Rasid

Kota Tinggi: Tindakan parti politik yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menumpukan isu FELDA kononnya banyak perkara belum diselesaikan dilihat sebagai cubaan merosakkan fikiran peneroka dan generasi kedua, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin masyarakat FELDA setia dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Isu FELDA ini sengaja dijadikan bahan (kempen) kerana di Kota Tinggi ini 80 peratus adalah pengundi

FELDA dan Johor adalah negeri kedua terbesar FELDA selepas Pahang. Jadi FELDA ini pengundi Melayu dan pengundi Melayu biasanya sangat setia kepada kerajaan BN.

"Sebab itu FELDA ini 'fixed' deposit UMNO selama ini dan itu (parti politik) tumpu kepada FELDA kerana

cuba merosakkan fikiran peneroka dengan memainkan isu yang saya anggap tak betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Rukun

Tetangga Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Johor, di Kompleks Sukan Komuniti FELDA Lok Heng, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Ismail Sabri berkata, tidak banyak isu FELDA yang boleh dikatakan tidak selesai, malah daripada segi pendapatan, peneroka FELDA bertuah dengan kenaikan harga kelapa sawit yang mencecah RM8,000 satu tan.

"Jadi tidak ada isu pendapatan dan kehidupan sukar. Walau ramai rakyat kita hadapi kesukaran selepas Covid-19 sebab kita baru buka ekonomi, tapi isu tak ada sebab pendapatan tinggi. Saya difahamkan ada

mendapat pendapatan lebih RM10,000,ada sampai RM12,000 sebulan," katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, isu berkaitan FELDA bukan hanya diselesaikan menjelang PRN Johor, sebaliknya ia diselesaikan secara berterusan.

Malah katanya, sebelum beliau ke FELDA Lok Heng, beliau dimaklumkan mengenai beberapa isu mengenai kawasan terbabit seperti isu bekalan air dan perumahan generasi kedua.

Beliau berkata, projek Loji Gemalai sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kini dalam proses setuju terima oleh kontraktor, manakala Loji Rawatan Air Gembut yang akan terus disalurkan ke Loji Rawatan Air Lok Heng sudah diumumkan supaya isu air di Kota Tinggi akan dapat diselesaikan.

Beliau berkata, mengenai isu perumahan generasi kedua FELDA, ketika RMK-12, beliau mengumumkan bahawa isu perumahan rumah generasi kedua FELDA dapat diselesaikan seperti pemberian lot rumah untuk didirikan rumah.

"Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur supaya tiada lagi isu masalah infrastruktur," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan tidak hanya melihat kepada keperluan rumah semata-mata, sebaliknya bagi membolehkan ramai peneroka beralih ke arah keusahawan, pihak FELDA setuju untuk beri RM10 juta untuk Tabung Usahawan Belia.

Malah Ismail Sabri berkata, bagi mengiktiraf peranan belia FELDA, pada mesyuarat agung baru-baru ini,

beliau mengumumkan melantik wakil belia dalam Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

"Pihak kerajaan mempunyai keyakinan kepada belia untuk menyuarakan pandangan dan buah fikiran untuk memajukan FELDA dan anak belia FELDA," katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, isu berkaitan rangkaian telefon turut diselesaikan susulan pengumuman kerajaan untuk membina pencawang di kawasan Kota Tinggi, manakala isu gangguan gajah juga dapat diselesaikan menerusi peruntukan RM10 juta bagi pembinaan santuari gajah yang sudah siap fasa kedua dengan fasa kedua dijangka siap pada 2025.

"Saya amat memahami masalah FELDA ini dan pastinya saya akan beri perhatian yang khusus kepada isu peneroka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 2:16 PM