AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Ketua Umno Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah dijangka bakal dipilih oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon itu dicadangkan Badan Perhubungan Umno Perak.

"Calon (BN) di Tambun yang dicadangkan ialah Ketua Umno Bahagian Tambun yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Negeri iaitu Datuk Aminuddin," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Hutan Melintang dekat Bagan Datuk hari ini.

Khamis lepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15.

Pada PRU-14, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata percubaan PH untuk mempertaruhkan Anwar pada PRU-15 di Perak, amat dialu-alukan.

"Perak adalah tempat kubu kuat BN, namun kalau mana-mana parti mahu, mencuba kita mengalu-alukan percubaan mereka," katanya.

Sementara itu merujuk kepada persoalan sama ada penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan dicalonkan semula di kerusi Parlimen berkenaan, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Menurutnya perkara sama turut diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti bagi mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk Khairy Jamaluddin yangjuga penyandang kerusi Parlimen Rembau.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan beliau memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 11:37 PM