PHIL Foden (tengah) mahu lakar sejarah bersama Man City. FOTO AFP
PHIL Foden (tengah) mahu lakar sejarah bersama Man City. FOTO AFP
AFP

London: Phil Foden berkata Manchester City akan selamanya menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak England jika mereka berjaya merangkul gelaran Liga Perdana buat kali keempat berturut-turut pada Ahad ini.

Pasukan kendalian Pep Guardiola berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih gelaran keenam dalam tujuh musim menjelang perlawanan terakhir musim, Ahad ini.

City kini dua mata di hadapan Arsenal yang berada di tempat kedua dan akan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi jika mereka mengalahkan West Ham di Stadium Etihad atau jika Arsenal gagal mengalahkan Everton.

Ia akan menjadi pencapaian yang belum pernah berlaku dalam sejarah liga utama England itu jika City berjaya meraih empat gelaran berturut-turut.

Malah pasukan hebat seperti Liverpool pada tahun 1970-an dan 1980-an, Manchester United di bawah bimbingan Alex Ferguson atau pasukan terbaik Arsenal juga tidak mampu menandingi pencapaian luar biasa itu.

Penyerang England, Foden, percaya bahawa pencapaian itu mungkin tidak akan berlaku lagi jika City berjaya meraih trofi berkenaan.

Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak, yang terlepas majlis di London itu untuk memberi tumpuan kepada persiapan City, berkata: "Ia adalah satu sejarah dan saya tidak fikir saya akan menyaksikan ia berlaku lagi.

"Ia adalah sesuatu yang pasukan tahu, pasukan faham dan kami tidak sabar untuk mencuba mencapainya."

Selepas memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, dan Piala FA musim lalu, City sedang memburu gelaran berganda musim ini.

Mereka akan berdepan dengan Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA di Wembley pada 25 Mei sebelum Foden memberi perhatian kepada Kejohanan Eropah di Jerman.

"Jika kami boleh memenangi dua perlawanan terakhir selepas ini, kami akan beraksi di kejohanan (Euro 2024) dengan penuh keyakinan.

"Kami akan memberikan segalanya untuk cuba mencapai kejayaan dan mencuba memenangi Liga Perdana kali keempat yang belum pernah dilakukan sebelum ini," kata Foden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 7:37 AM