Mohd Amin Jalil


Seremban: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyifatkan kesediaan Khairy Jamaluddin untuk memberi laluan kepada beliau bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebagai keputusan kekeluargaan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau, melahirkan rasa syukur di atas keikhlasan Khairy, yang juga penyandang kerusi berkenaan, menyatakan secara terbuka mengenai perkara terbabit.

"Itu semangat kekeluargaan dalam Rembau ini. Kami ini beradat, beradat dalam terang, Alhamdullilah, kita pastikan jentera ditempat ini (Rembau) akan dapat dipertingkatkan lagi.

"Jadi tak timbul lagi isu pasal kerusi Rembau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy ketika menyampaikan ucapan penggulungan persidangan berkenaan menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada Mohamad atau Tok Mat bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau turut memaklumkan untuk sedia bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang ditetapkan pucuk pimpinan parti.

Dalam laporan media sebelum ini, Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

MOHAMAD diiringi Khairy pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHAMAD diiringi Khairy pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.

Khairy kemudian mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya itu selepas beliau diarah mengosongkan kerusi terbabit oleh Mohamad yang mahu bertanding di Rembau.

Mengenai kedudukan Khairy, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata, beliau bersama pucuk pimpinan parti akan mengenal pasti kerusi yang sesuai buat bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Beliau berkata, sebagai pemimpin muda yang berkaliber dan baik untuk negara, Khairy perlu bertanding pada PRU-15 untuk memastikan bakat dimilikinya tidak hilang begitu saja.

"Khairy adalah pemimpin muda yang berkaliber dan sudah tentu kita tidak mahu bakatnya hilang begitu saja.

"Kita cuba cari tempat yang sesuai untuk beliau bertanding pada PRU-15 ini, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 4:15 PM