GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kejadian seorang lelaki dilarikan lima lelaki dengan kereta di hadapan sebuah kedai di Taman Mount Austin di sini kelmarin, tidak membabitkan kegiatan Ah Long.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia 20-an berkenaan membuat laporan polis jam 3.42 petang, semalam.

Katanya, mangsa dibebaskan suspek pada hari sama di tepi jalan kawasan Mount Austin, pada jam 7 malam iaitu satu jam selepas dilarikan menaiki Proton Persona yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati ada pembabitan seorang wanita dalam kejadian itu dan polis sudah menahannya. Usaha mengesan rakan sejenayah yang lain masih giat dijalankan.

"Motif sebenar suspek melarikan mangsa masih dalam siasatan, namun siasatan setakat ini tidak membabitkan kegiatan Ah Long," katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Menurut Mohd Padzli, wanita terbabit direman tiga hari bermula hari ini hingga 13 Jun depan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:41 PM