ABDUL Hamid Bador. FOTO Arkib NSTP.
ABDUL Hamid Bador. FOTO Arkib NSTP.
Zanariah Abd Mutalib


Bangi: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini dikatakan akan mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disahkan tidak akan bertanding.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan Abdul Hamid masih belum bersedia untuk menjadi calon.

"Beliau tidak bertanding... belum bersedia," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRU-15 GTA-Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hamid dikatakan akan bertanding di Parlimen Rembau, sekali gus bakal berdepan dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan yang sejak awal menyatakan hasrat bertanding di kerusi berkenaan.

Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, gabungan itu mahu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid bagi memberikan saingan sengit di kawasan itu.

Pada PRU-15, GTA turut meletakkan nama terkenal sebagai calon, termasuk pengarah dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.

Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:31 PM