Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (kiri) ketika kempen Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15), baru-baru ini. FOTO AZRUL EDHAM
Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (kiri) ketika kempen Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15), baru-baru ini. FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penggiat seni juga calon parti Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, tidak kecewa dengan kehilangan wang deposit selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Ahmad Idham berkata, menang atau kalah adat bertanding dan hilang wang deposit itu baginya adalah normal. Jelasnya, dia juga masih baharu menimba pengalaman dalam bidang politik tanah air.

"Hilang wang deposit selepas kalah itu, perkara normal. Saya menerimanya dengan hati terbuka, Apa yang penting, saya melihat peluang untuk menjadi calon bertanding dalam PRU bukan mudah. 

"Apatah lagi, saya menjadi calon bertanding untuk Parlimen dan ini satu tanggungjawab besar. Bagaimanapun, sebagai Penyelaras Parlimen Port Dickson untuk GTA, saya akan teruskan berkhidmat dengan ikhlas untuk pembangunan di daerah ini walaupun tewas," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Idham berkata hilang deposit umpama risiko berniaga juga. Katanya, ia sebahagian permainan dalam politik yang perlu difahami dan selaku calon, dia memang kena sedia untuk menerimanya.

"Inilah dia politik. Kalau tak berani nak hilang deposit, jangan masuk politik. Kalau tak berani nak hilang deposit juga, jangan cerita tentang perjuangan. Maknanya, awak tidak cukup kental nak bermain politik, kalau isu deposit pun dah menggelupur.

"Macam orang berniaga, kalau takut rugi, jangan nak berniaga. Apapun, saya sentiasa bersedia berkhidmat dengan ikhlas kepada masyarakat di Port Dickson. Saya memang tiada masalah pun dalam bekerja," katanya.

Terdahulu, Ahmad Idham tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menang majoriti dengan undian sebanyak 42,013. Manakala, Ahmad Idham hanya memperoleh 1,084 undi.

Turut tewas di Parlimen Port Dickson ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kalamanathan yang memperoleh 18,412 undi, calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha dengan 18,235 undi dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah sebanyak 441 undi.

Selain Ahmad Idham dan Rani Kulup, tiga penggiat seni lain yang bertanding di kawasan parlimen lain di Selangor dan Perak juga tewas. Mereka ialah Datuk Seri Eizlan Yusof di Parlimen Sabak Bernam, Datuk Jurey Latiff Rosli (Parlimen Lenggong) dan Lando Zawawi (Parlimen Tanjung Karang).

Dengan kekalahan itu, difahamkan kesemua penggiat seni ini terpaksa akur kehilangan wang deposit yang dipertaruhkan masing-masing.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 4:28 PM