WARGA Indonesia melecur diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba.
WARGA Indonesia melecur diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Lelaki warga Indonesia melecur seluruh badan dalam kebakaran sebuah stor penyimpanan baja di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini, hari ini.

Mangsa Nasaruddin Silele, 41, yang melecur dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.42 petang.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan baja yang terbakar sepenuhnya.

"Terdapat seorang mangsa cedera melecur di seluruh badan dan dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada 4.40 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Pasukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

"Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 7:48 PM