IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Harun Yahya


TIGA blok kuarters pekerja tapak pembinaan di Ulu Julau, Pakan, terbakar akibat perbuatan dua pekerja merokok dekat stor penyimpanan minyak di lokasi kejadian, hari ini.

Kebakaran turut menyebabkan seorang daripadanya yang juga pekerja lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun melecur di muka, badan dan kaki, dalam kejadian kira-kira 10 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Abdul Mutalib Rashid berkata sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dan BBP Sarikei ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran dipadam sepenuhnya pada kira-kira 1 tengah hari. Ketiga-tiga kuarters pekerja dan stor penyimpanan minyak itu musnah 100 peratus.

“Mangsa yang melecur itu dihantar ke Klinik Kesihatan Nanga Wak, Pakan, manakala rakannya yang berusia lingkungan 20-an tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berlaku apabila bara dari puntung rokok yang dibuang berdekatan stor penyimpanan minyak menyambar sisa ‘thinner’ di stor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 4:26 PM