Anggota bomba ketika operasi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kluang - Batu Pahat malam tadi. Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba ketika operasi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kluang - Batu Pahat malam tadi. Foto Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Kilometer 12 Jalan Kluang - Batu Pahat dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu berusia 31 tahun bersama isterinya, 26 tahun dan seorang anak lelakinya, 4 tahun dalam perjalanan dari arah Sri Gading menghala ke Bandar Batu Pahat pada jam 9.45 malam.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, isterinya yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, suami wanita berkenaan yang juga pemandu kereta dan anak lelakinya mengalami cedera parah.

"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat dan kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Nur Eddy Paiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.50 malam.

"Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Honda Ferior.

"Ketiga-tiga mangsa dalam keadaan tersepit di dalam kenderaan dan pihak bomba terpaksa mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas," katanya.

Katanya, seramai 13 orang anggota dari BBP Penggaram, satu jentera LFRT, satu jentera EMRS dan dua unit RIM dihantar ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 11:30 AM