ANGGOTA bomba ketika menuju ke lokasi kejadian bagi membawa turun mayat mangsa di puncak Bukit Soga dekat sini, semalam. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika menuju ke lokasi kejadian bagi membawa turun mayat mangsa di puncak Bukit Soga dekat sini, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang warga emas menemui ajal selepas melakukan aktiviti riadah bersama isteri dan anaknya di Bukit Soga, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pada jam 5.35 petang itu, Gan Tian Guan, 62, sebelum itu mengadu sakit kepala sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

"Siasatan awal mendapati pada jam 4 petang, mangsa yang tinggal di Taman Putera, di sini sedang beriadah mendaki Bukit Soga bersama isterinya berusia 54 tahun dan anak perempuannya berusia 19 tahun.

"Ketika mereka berada di puncak bukit pada ketinggian 286 meter, mangsa mengadu pening kepala dan terjatuh lalu tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan dekat sini.

Ismail berkata, anak mangsa kemudian bergegas turun ke bawah untuk meminta bantuan orang ramai bagi menghubungi pihak hospital, polis dan bomba.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) yang hadir ke lokasi.

"Mayat diturunkan dengan bantuan bomba dan dihantar ke HSNI untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II, Rohaizat Hamdan berkata, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi urusan selanjutnya.

"Seramai sembilan anggota dari BBP Penggaram, satu jentera FRT dan satu EMRS dihantar ke tempat kejadian.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.25 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 12:49 PM