FESTIVAL Pesona YPKDT 25 Tahun (FEST25) 2022 di Pusat Sukan Educity di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
FESTIVAL Pesona YPKDT 25 Tahun (FEST25) 2022 di Pusat Sukan Educity di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) terus menjadi 'tangan' bagi mengangkat martabat wanita dalam arus pembangunan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, sepanjang 25 tahun penubuhannya, YPKDT berusaha dan bekerja keras menyantuni golongan sasar dengan melaksana pelbagai inisiatif bagi mencapai visi serta misi.

"Salah satu objektif penubuhan YPKDT ini selain mengukuhkan institusi keluarga dan menangani masalah sosial adalah untuk membawa wanita ke arus pembangunan.

"YPKDT memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi agenda pemerkasaan wanita khususnya di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Pesona YPKDT 25 Tahun (FEST25) 2022 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani di Pusat Sukan Educity, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Nurul Naqiah Fadzil.

Bersesuaian dengan sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhan YPKDT ke-25, Festival Pesona YPKDT 25 Tahun (FEST25) 2022 antara manifestasi kepada pencapaian yang diraih yayasan itu terutama dalam agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita di negeri ini.

Khairin Nisa berkata, antara objektif pelaksanaan festival itu adalah untuk meraikan dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita hebat di negeri ini.

Katanya, sepanjang tiga hari festival yang bermula Jumaat lalu, ia berlangsung dengan pelbagai program dan aktiviti menarik sekali gus mengetengahkan produk serta perkhidmatan di bawah YPKDT.

"Antara yang disediakan, pameran dan jualan, Bazar @ Suri, perkhidmatan gunting rambut oleh peserta Program Skim Permulaan Perniagaan (Pemula) YPKDT, jualan hasil projek Perkasa YPKDT, Seminar Kembara Keluarga Sejahtera dan Kursus 'Women's Income Generating Skills Project' (Wings).

"Turut diadakan, 'Pocket Talk' Keusahawanan, Malam YPKDT Berselawat serta pelbagai pengisian sampingan lain yang menarik seperti Coffee Fest, Insta Bazar, Food Truck, Soopa Doopa, Trishaw, Busker, Mini Zoo dan Kids Zone.

"Selain sambutan Jubli Perak YPKDT, turut diadakan adalah Anugerah Pesona Wanita Johor 2022, Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor 2022-2031 dan pelancaran logo baru YPKDT," katanya.

Khairin Nisa turut berharap festival julung kali diadakan itu dapat memberikan informasi yang jelas dan tepat mengenai peranan serta fungsi YPKDT kepada masyarakat, malah memberi kepuasan kepada pengunjung yang hadir.

Untuk rekod, YPKDT sudah menyantuni seramai 11,823 ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah di Johor khasnya yang berdaftar di bawah yayasan berkenaan.

Mereka akan mengikuti pelbagai kursus kemahiran bantuan peralatan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan serta melahirkan usahawan 'home based' yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:56 PM