ZAMBRY (kanan) melawat rumah Amran (kiri) yang musnah dalam kebakaran di Fasa 2F, hari ini. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
ZAMBRY (kanan) melawat rumah Amran (kiri) yang musnah dalam kebakaran di Fasa 2F, hari ini. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Dalam keadaan kelam kabut kerana api semakin marak, saya berlari keluar sebelum masuk semula untuk mengambil kunci di dalam bilik kerana pintu rumah berkunci," kata Kharin Anuar Amran, 30.

Kharin Anuar bersama bapanya, Amran Bujang, 63, dan seorang abang tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Fasa 2F, di sini, musnah terbakar, kelmarin.

Menurutnya, kebakaran disedari pada 8.30 malam selepas dia terjaga daripada tidur kerana terhidu bau asap ketika bersendirian di rumah berkenaan.

Katanya, dia tinggal bersama bapa dan abangnya berusia 32 tahun selepas ibunya meninggal dunia pada 2019.

"Saya tertidur sementara menunggu masuk waktu solat Maghrib dan tiba-tiba terjaga sebab bau asap dan lihat sekeliling sudah gelap sebelum terdengar bunyi letupan kecil.

"Saya nampak api marak sudah sampai bumbung di bilik belakang dan tanpa berlengah saya terus ke depan untuk menyelamatkan diri tetapi pintu pula berkunci sebelum saya kembali ke bilik mencari kunci," katanya.

Khairin Anuar berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut menyerahkan sumbangan peribadi, hari ini.

Menurutnya, dia yang mempunyai penyakit asma sejak kecil berasa sesak nafas kerana asap tebal memenuhi ruang rumahnya sebelum segera menghubungi bomba untuk bantuan.

"Dengan memakai kain pelikat, saya hanya sempat mengambil telefon bimbit dan kunci saja, manakala barangan lain termasuk dokumen penting musnah dalam kejadian itu.

"Alhamdulillah, saya tidak cedera cuma sesak nafas saja dan sudah ke hospital untuk rawatan pada hari sama," katanya memberitahu motosikal dan kereta mereka tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 2:28 PM