ONN Hafiz (tengah) menyampaikan sumbangan pada Majlis Sentuhan Kasih Keluarga Johor 2023 di Kompleks Sukan Educity. FOTO Omar Ahmad
ONN Hafiz (tengah) menyampaikan sumbangan pada Majlis Sentuhan Kasih Keluarga Johor 2023 di Kompleks Sukan Educity. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri mensasarkan sifar miskin tegar di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dalam hala tuju Johor, kerajaan mahu memastikan negeri maju menjelang 2023, tanpa melupakan golongan rentan.

Katanya, negeri ini mempunyai empat juta penduduk, namun masih ada yang miskin termasuk miskin tegar.

"Seramai 4,700 orang dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini.

"Saya sudah berbincang dengan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail dan beberapa exco dibantu agensi berkaitan untuk mengembleng tenaga untuk memastikan angka ini dicapai.

"Ini tanggungjawab bukan saja saya, tapi semua pemimpin," kata ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Keluarga Johor 2023 di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, bagi membela nasib golongan ini, peruntukan hampir RM10 juta diumumkan dalam Bajet Johor tahun lalu untuk menjaga kebajikan di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT).

Katanya, peruntukan hampir RM22 juta turut diberikan kerajaan negeri dibantu kerajaan persekutuan kepada JKM.

"Hampir 150,000 individu dibantu tahun lalu dengan bantuan semua pihak.

"Usaha ini kita akan teruskan supaya tiada yang tercicir. Kita nak pastikan semua kaum tak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asli tidak tergolong dalam kumpulan ini, tidak kira agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 5:33 PM