Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat pulang ke tanah air selepas selesai mengadakan lawatan empat hari di Singapura. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat pulang ke tanah air selepas selesai mengadakan lawatan empat hari di Singapura. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Singapura: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Mainunah Iskandariah berangkat pulang ke tanah air, hari ini selepas selesai mengadakan lawatan negara di sini selama empat hari.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di sini, kira-kira 10 pagi disambut oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu.

Turut mengiringi keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohammed Zin selaku Pegawai Pengiring.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopalan Menon.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta delegasi dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 11 pagi tadi.

Lawatan negara Seri Paduka berdua bermula pada 25 Oktober lalu, mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura yang terjalin bermula sejak 57 tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong memulakan lawatan negara itu dengan melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada 25 Okt, manakala Tunku Azizah turut berangkat melawat Gardens by the Bay pada sebelah malamnya.

Seri Paduka berdua turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong serta beberapa menteri Singapura disusuli Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Lee dan isteri Ho Ching pada 26 Oktober.

Pada hari sama, Seri Paduka berdua berangkat ke Majlis Santapan Malam di Istana dan diberikan sambutan negara selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee.

Ketika lawatan negara Seri Paduka berdua, Singapura juga menamakan satu spesies orkid hybrid sempena dengan nama Raja Permaisuri Agong iaitu 'Queen Azizah of Malaysia' dalam Majlis Penamaan Orkid yang diadakan di Istana pada Rabu.

Program Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diaturkan berasingan pada sebelah pagi hingga petang, semalam, dengan Al-Sultan Abdullah berangkat mengadakan dua lawatan bermula di Pusat Pelawat NEWater iaitu loji merawat serta memproses air yang digunakan untuk bekalan rakyat Singapura, disusuli lawatan di Kem Pasir Ris yang merupakan institut latihan ketenteraan republik itu.

Tunku Azizah pula berangkat mengadakan lawatan di National Library of Singapore, National Museum of Singapore serta Persatuan Pandu Puteri Singapura dan mengurniakan sumbangan wang S$15,000 kepada organisasi terbabit.

Pada malam tadi, Seri Paduka berdua berangkat mencemar duli di Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia dan meluangkan masa lebih dua jam serta bergambar dengan rakyat Malaysia yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 11:28 AM