ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat wanita yang ditemukan rentung. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat wanita yang ditemukan rentung. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemandu wanita ditemukan rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 10.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, seorang penumpang lelaki cedera manakala tiga lagi penumpang wanita selamat.

Komander Operasi Khairuddin Abdurrahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan 6.14 pagi.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil serta Pudu dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi mendapati sebuah kereta terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta Proton Saga.

"Anggota segera memadamkan kebakaran. Kereta musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemukan rentung di bahagian pemandu.

"Seorang penumpang lelaki cedera di kepala manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 9:15 AM