ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Wanita yang rentung dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 10.8 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil di sini, pagi tadi, adalah Penolong Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya.

Mangsa, Wong Zhen Ying, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dipandu terbakar manakala empat rakannya yang menaiki kereta sama sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis menerima maklumat kemalangan pada jam 6.50 pagi.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan Perodua Bezza dipandu mangsa dan Proton Saga.

"Siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa bersama empat penumpang berhenti di lorong kecemasan dan ketika bergerak untuk meneruskan perjalanan, kereta mereka dilanggar Proton Saga dari arah belakang.

"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas merempuh pembahagi jalan dan kemudian terbakar.

"Keempat-empat penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala pemandu tersepit di tempat duduk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahammad Sadiq Yusoff di talian 013-4545679 atau Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 3:50 PM