Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu. FOTO ihsan JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu. FOTO ihsan JBPM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua lelaki dan seorang wanita yang identitinya belum dikenal pasti disahkan rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.55 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Vios dengan nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

"Dipercayai kereta itu melanggar pokok sebelum terbakar," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tiga mangsa dipercayai dua lelaki dan seorang wanita terperangkap dalam kereta berkenaan.

"Dua lelaki ditemukan di bahagian pemandu dan penumpang belakang manakala wanita pula di bahagian penumpang hadapan," katanya.

Katanya, dengan menggunakan peralatan khas anggota bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit pada 3.05 pagi.

"Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan petugas perubatan yang tiba di lokasi," katanya lagi.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Sehingga kini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti dan usaha lanjut sedang dilakukan pihak berkuasa.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 8:19 AM