KERETA dinaiki seorang lelaki terbakar selepas melanggar pokok di Jalan Labuk di Batu Lima, Sandakan. FOTO Ihsan Bomba
KERETA dinaiki seorang lelaki terbakar selepas melanggar pokok di Jalan Labuk di Batu Lima, Sandakan. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI nyaris rentung selepas kereta dipandunya terlanggar pokok sebelum terbakar di Jalan Labuk, dekat Batu Lima, Sandakan, awal pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian 2.30 pagi itu, pemandu berusia 48 tahun berkenaan dilaporkan sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Empat ke Batu Enam, dekat sini, sebelum terlanggar pokok di pembahagi jalan raya dan terbabas di tepi kiri jalan raya.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.33 pagi sebelum menghantar lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi yang terletak empat kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kereta Proton Saga FLX terbakar di bahagian hadapan dan ketika kejadian tiada mangsa berada dalam kereta terbabit.

"Usaha mengawal api berjaya dilakukan pada 2.40 pagi dengan menggunakan sumber air daripada jentera bomba. Pemeriksaan mendapati, kereta terbabit musnah 60 peratus terutama pada bahagian hadapan." katanya ketika dihubungi.

Anddre berkata, mangsa tidak cedera dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 2:24 PM