MAS Ermieyati menyampaikan sumbangan kepada pentadbir rumah ibadat di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah malam tadi. FOTO Hassan Omar
MAS Ermieyati menyampaikan sumbangan kepada pentadbir rumah ibadat di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah malam tadi. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Senarai nama calon Srikandi bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah diserahkan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Nama terbabit disenaraikan selepas pencalonan dan penapisan rapi dibuat Ketua Srikandi Bersatu bahagian di seluruh negara untuk bertanding kerusi Parlimen.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) senarai berkenaan turut diberikan tetapi hanya bagi negeri yang membubarkan DUN masing-masing.

Menjelaskannya, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, senarai berkenaan tidak membabitkan nama yang diberikan

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri yang mempunyai senarai berasingan.

"Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Harun sudah menyerahkan nama calon Srikandi tadi (semalam) untuk diputuskan oleh Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

"Bagaimanapun, Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri mempunyai calon yang difikirkan layak untuk memikul tugas sebagai calon boleh menang," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada pentadbir lapan rumah ibadat di Kampung Paya Mengkuang, di sini malam tadi.

Mas Ermieyati bagaimanapun berkata, senarai berkenaan tidak membabitkan calon Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun kerana tugas itu dibuat Ketua Srikandi Muda, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Naib Ketua, Suhainna Jamri.

"Srikandi mengetengahkan calon berkaliber dan profesional untuk memikul tugas sebagai calon dan insya-Allah jika menang, mereka mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik," katanya.

Beliau menegaskan, Srikandi akan patuh kepada segala keputusan muktamad yang dibuat Muhyiddin dan berjanji berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan pada PRU-15 tidak lama lagi.

Katanya, sesi libat urus yang membabitkan semua Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri bagi membincangkan calon paling sesuai untuk meraih sokongan pengundi diadakan hari ini.

Pix 1-3: Mas Ermieyati menyampaikan sumbangan kepada pentadbir rumah ibadat di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah malam tadi.

- Foto HASSAN OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 12:26 PM