DATUK Kalsom Noordin bercakap ketika sesi temubual. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Kalsom Noordin bercakap ketika sesi temubual. FOTO Asyraf Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Penampilan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini memberi gambaran parti yang bertanding bersedia memberikan peranan lebih signifikan kepada golongan wanita dalam pembuat dasar negeri.

Setiausaha Wanita Umno Melaka, Datuk Kalsom Noordin yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mewakili Perikatan Nasional (PN) antara nama pemimpin kanan parti politik yang diberi kepercayaan menggalas tugas pada PRN.

Kalsom yang kali pertama mencuba nasib di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yakin pengundi kini tidak terarah kepada jantina dalam menentukan pemimpin.

Menurutnya, keputusan BN meletakkan lima calon wanita bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam pembuat dasar.

"Persepsi wanita tidak boleh memimpin tidak lagi relevan masa kini kerana kami berjaya membuktikan kemampuan dalam pelbagai sektor.

"BN mengambil langkah berani menampilkan kombinasi calon wanita pelbagai peringkat untuk diberi tugas dan tanggungjawab dalam membuat keputusan dan dasar di Melaka," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pengundi di Melaka khususnya DUN Pengkalan Batu perlu melihat calon wanita sebagai satu pembaharuan dalam landskap politik dan memberi peluang kepada golongan itu berkhidmat kepada masyarakat.Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menganggap enam calon wanita PN adalah permulaan yang baik dan tawaran baharu kepada pengundi di Melaka.

Katanya, sebagai gabungan parti yang baharu PN ternyata berani meletakkan calon wanita khususnya di 'kerusi panas' untuk memberi saingan sengit kepada parti lawan.

"Walaupun tidak sampai dua tahun, PN tampil berani dan berharap ia akan memberi ruang lagi kepada wanita yang ada potensi berperanan dalam pentadbiran sama seperti lelaki.

"Saya berbangga apabila calon wanita yang masih muda diketengahkan dan ini memberi peluang golongan ini untuk mencungkil potensi diri, khususnya golongan muda," katanya.

Berita Berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 1:19 PM