ANGGOTA APM Pendang melakukan pemantauan paras air yang semakin meningkat di daerah itu berikutan paras air Sungai Pendang sudah melepasi tahap amaran. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Pendang melakukan pemantauan paras air yang semakin meningkat di daerah itu berikutan paras air Sungai Pendang sudah melepasi tahap amaran. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Paras air Sungai Pendang terus meningkat hari ini sehingga mencecah 2.66 meter (m) melepasi tahap amaran 2.5 m berbanding paras bacaan 2.60 m semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pemantauan masih dilakukan di lokasi tumpuan berhampiran sungai iaitu Kampung Pondok Haji Husin, Kampung Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Sukamari.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang pada jam 11 pagi hingga 1 petang di kawasan yang berisiko dinaiki air.

"Setakat ini paras air sungai semakin naik dan hampir memasuki rumah penduduk di Kampung Seberang Pendang.

"Terdapat rumah di Kampung Sukamari sudah dimasuki air manakala paras air sungai di Kampung Banggol Kambing dan Kampung Pondok Haji Husin sudah mula naik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, anggota APM Pendang berada di dalam bersiap sedia sekiranya penghuni di kawasan yang terjejas banjir supaya bersiap sedia untuk berpindah.

Tambahnya, keadaan masih terkawal dan setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah itu.

"Anggota kami akan melakukan pemantauan sepanjang masa bagi memastikan keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai terjamin.

"Trend air sungai semakin menaik walaupun ketika pemantauan keadaan cuaca cerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:22 PM