Anggota APM Pendang menyukat paras air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Banggol Besi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota APM Pendang menyukat paras air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Banggol Besi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Tiga kampung di daerah ini dilanda banjir sejak semalam berikutan hujan yang melanda selama beberapa hari.

Ia membabitkan Kampung Sukamari, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Banggol Besi yang ditenggelami air sedalam 0.3 meter hingga lebih satu meter.

Tinjauan di Sungai Pendang mendapati, paras air sudah melebihi paras bahaya iaitu 3.05 meter dan langkah berjaga-jaga perlu diambil sekiranya hujan lebat berterusan hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang Leftenan (PA) Norashikin Ahmad Zawawi berkata, 50 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang diletakkan dalam keadaan bersedia untuk membantu menjalankan operasi pemindahan di kawasan dinaiki air.

"Penduduk di kawasan rendah dan kerap dinaiki air dinasihati supaya melakukan persediaan bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir kilat.

"Kampung Sukamari dinaiki air sedalam lebih satu meter manakala dua kampung lagi dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter," katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan banjir hari ini.

Dalam pada itu, Norashikin menasihati penduduk supaya mengawasi anak masing-masing supaya tidak bermain air berikutan arus sungai deras dan melimpah ke kawasan rumah kediaman.

"Kemungkinan bahaya boleh berlaku disebabkan keadaan paras banjir kelihatan sekata dengan paras air sungai," katanya.

Ketua Bahagian Unit Operasi Bencana APM Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, banjir hanya melanda Pendang.

"Perubahan monsun timur laut sejak 24 September lalu menyebabkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini.

"Setakat ini, paras air sungai di Anak Bukit di Kota Setar masih terkawal manakala di Pendang sudah melepasi paras bahaya," katanya.

Penduduk Kampung Banggol Besi, Masriah Saad, 54, berkata, air melimpah ke kawasan rumahnya sejak semalam berikutan hujan lebat sejak malam kelmarin.

"Walaupun paras air kira-kira 0.3 meter namun kami sudah buat persediaan sekiranya diarahkan berpindah," katanya.

Bagi Hasnah Che Lah, 60, dia bimbang hujan berterusan akan menyebabkan paras air sungai meningkat seterusnya melimpah ke rumahnya.

"Setakat ini, air melimpah sedikit ke dalam rumah namun surut tidak lama kemudian.

"Saya sudah letakkan barangan di tempat tinggi bagi mengelak ditenggelami banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:02 PM