Saifulisham (dua dari kanan)  diiringi Pengerusi KRT Taman Marida 1, Mohd Rafi Ismail ketika melawat Program Pemeriksaan Kesihatan anjuran Sel Kesihatan Markas 1 Briged di Taman Marida, semalam. Foto Ahmad Hasbi.
Saifulisham (dua dari kanan) diiringi Pengerusi KRT Taman Marida 1, Mohd Rafi Ismail ketika melawat Program Pemeriksaan Kesihatan anjuran Sel Kesihatan Markas 1 Briged di Taman Marida, semalam. Foto Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi

Seremban: Program Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama masyarakat mampu mendokong Pelan Strategik Mindef (PSM) 2021-2025 selaras dengan objektif Kertas Putih Pertahanan di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Saifulisham Baharun berkata, objektif pertahanan negara seperti yang digariskan dalam kertas putih pertahanan adalah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

"PSM 2021-2025 bertunjangkan kepada tujuh teras utama yang mana setiap teras memperincikan dengan jelas strategi dan inisiatif yang jitu, komprehensif serta mempunyai keberhasilan yang tinggi.

"Teras 4 PSM 2021-2025 pula memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti masyarakat berkaitan peranan dan tanggungjawab mereka dalam mempertahankan negara. Program ini adalah inisiatif dalam teras empat," katanya ketika merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan anjuran Sel Kesihatan Markas 1 Briged di Taman Marida, di sini, semalam.

Program dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Marida 1 itu diisi dengan aktiviti senamrobik, ceramah kesihatan, pameran kesihatan, demonstrasi berus gigi dan pemeriksaan kesihatan serta gigi.

Mengulas lanjut, Mohd Saifulisham berkata, Sel Kesihatan Markas 1 Briged dipilih untuk mendokong inisiatif yang digariskan dalam mengukuhkan kerjasama tentera - awam demi mencapai pertahanan menyeluruh.

"Antara objektif PSM adalah untuk memenangi hati rakyat dan memperkukuhkan hubungan serta sokongan rakyat terhadap tentera dan mempromosikan imej tentera dalam agenda pembangunan negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Marida 1, Mohd Rafi Ismail berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat memberikan kerjasama kepada ATM khususnya Sel Kesihatan Markas 1 Briged, malah berterima kasih kerana memilih taman perumahan itu sebagai tuan rumah.

"Sebenarnya banyak perkara yang kita tidak tahu mengenai imej dan sumbangan ATM kepada masyarakat. Menerusi program seperti ini, ia dapat membuka mata kita apabila dapat bertemu dan saling mengenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 11:39 AM