Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, hari ini, adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan itu adalah satu modus operandi terancang berlandaskan lima teras strategik dan bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata.

Lima teras strategik itu katanya, memelihara sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan, membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan, memperkasakan sosio-ekonomi adil dan saksama, menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan serta teras strategik kelima iaitu membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

"Pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi.

"Ini mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

"Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran serentak Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri (kiri) dan Halimah menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (kiri) dan Halimah menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025. FOTO Bernama

Perdana Menteri berkata, Rukun Negara adalah dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia diisytiharkan 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menterinya Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

"Sebagai sebuah Keluarga Malaysia terdiri pelbagai kaum, perlu kita bersama-sama dengan fikiran dan dada yang terbuka menerima persamaan serta tidak terlalu menekankan perbezaan.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara merealisasikan konsep Keluarga Malaysia dalam bentuk program yang spesifik dan konkrit bagi memperkasa perpaduan dan integrasi nasional," katanya.

Sementara itu, katanya, satu lagi pelan yang turut dilancarkan hari ini iaitu KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 adalah signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

Pelan yang merakyatkan perpaduan itu katanya, memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau nama ringkasnya KAMI iaitu K bermakna Karib, A - Aksesibiliti, M - Majmuk dan I - Inklusiviti.

"Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 12:26 PM