Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Perladangan dan Komoditi melancarkan Pelan Strategik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) 2021-2025, dengan menggariskan tujuh teras strategik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tujuh teras strategik berkenaan merangkumi ketampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran, keterangkuman, perlesenan dan penguatkuasaan serta penyampaian perkhidmatan berkesan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, tujuh teras itu dikenal pasti dapat membantu LKTN melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab dan menangani cabaran berbangkit.

"Perancangan strategik jangka panjang LKTN merangkumi strategi, pelan tindakan, indikator dan sasaran bagi tempoh lima tahun.

"Ia sejajar dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030), untuk mencapai output dan keberhasilan yang ditetapkan.

"Tempoh pelaksanaan pelan strategik LKTN amat kritikal dan mencabar memandangkan LKTN perlu menangani isu-isu utama bagi menyokong DAKN 2030 yang dilancarkan 9 Mac tahun lalu," katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik LKTN 2021-2025 dan Anugerah Penanam, Industri dan Inovasi Kenaf 2021 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelan itu tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif, dengan sasaran yang spesifik berserta semakan prestasi berkala sepanjang pelaksanaannya.

"Dalam hal ini, saya yakin LKTN akan berusaha untuk melaksanakan strategi dan inisiatif yang digariskan mengikut tempoh ditetapkan dengan matlamat pencapaian yang maksimum," katanya.

Fadillah berkata, industri kenaf mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi baru yang mampan kepada negara.

Katanya, pelbagai program dan inisiatif dirancang dan dilaksanakan oleh LKTN dalam usaha berterusan untuk membangunkan industri berkenaan.

FADILLAH (dua, kanan) bersama Siti Aminah melihat buku Pelan Strategik LKTN 2021-2025 selepas melancarkannya di Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
FADILLAH (dua, kanan) bersama Siti Aminah melihat buku Pelan Strategik LKTN 2021-2025 selepas melancarkannya di Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Kementerian menerusi LKTN juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti ke arah pengkomersialan kenaf terutama aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

"Usaha meluaskan lagi jaringan pasaran dan meneroka pasaran baharu juga akan terus diberi perhatian. Ini penting agar sasaran untuk menjana pendapatan lebih tinggi dapat dicapai.

"Untuk ke arah itu, kerjasama dan komitmen semua pihak amat diperlukan termasuk pegawai kementerian, agensi, penanam, pemain industri dan semua yang terbabit," katanya.

Jelasnya, industri kenaf Malaysia perlu merebut peluang di pasaran antarabangsa dengan mengetengahkan produk hasil kenaf yang bersesuaian dengan tuntutan pasaran dan ekonomi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 10:33 PM