PELAN Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25) mengambil kira senario pekerjaan kini berubah apabila rumah menjadi tempat untuk bekerja. FOTO Arkib NSTP
PELAN Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25) mengambil kira senario pekerjaan kini berubah apabila rumah menjadi tempat untuk bekerja. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25) dengan mengambil kira senario pekerjaan kini berubah apabila rumah menjadi tempat untuk bekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik Covid-19 secara tidak langsung memberi kesan kepada hampir semua aspek pekerjaan.

Beliau berkata, penularan virus di tempat kerja antara risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja untuk mengambil langkah mencegah penyebaran penyakit itu.

"Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini.

"Ia menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian (online).

"Melihat sudut positif, senario baru ini sebenarnya membuka banyak peluang bagi warga pekerja. Definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak semestinya berada di pejabat," katanya ketika melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 secara maya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Menterinya merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Awang Hashim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri berkata, semakin ramai kalangan pekerja akan beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.

Apa yang membimbangkan, katanya, perubahan itu turut mendedahkan pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik, yang antara lainnya berkait dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

"Pekerja yang terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial terutamanya tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial.

"Situasi baharu ini menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan kondusif terus diwujudkan.

"Komitmen kerajaan dalam melindungi sumber manusia adalah berpaksikan prinsip Inklusiviti dan Budaya Kerja Selamat," katanya.

Menurutnya, OSH-MP-25 menggariskan tujuh teras strategik sebagai pemacu kepada pembentukan 'Budaya Kerja Selamat dan Sihat' selain membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Katanya, tujuh teras strategik yang mengamalkan budaya kerja selamat itu amat mustahak untuk dipatuhi.

"Tujuh teras berkenaan membabitkan Teras Pertama: Pemerkasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor awam; Teras Kedua: Pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja.

"Teras Ketiga: Penggalakan pendidikan & penyelidikan KKP; Teras Keempat: Pemerkasaan kesihatan pekerjaan; Teras Kelima: Peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Teras Keenam: Pemantapan KKP melalui teknologi dan Teras Ketujuh: Peningkatan KKP berkaitan jalan raya, sektor informal dan pekerjaan masa hadapan," katanya.

Katanya, pelan itu akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan jangkitan penyakit, sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

"Negara boleh mengalami kerugian sebanyak empat peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun akibat kesan langsung pengabaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Namun, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 4:47 PM