Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu tarikh perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi berhubung saman pemula yang difailkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berhubung Perkara 14A Perlembagaan Negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, dalam proses menanti tempoh itu beliau mengambil maklum terdapat dua isu dibangkitkan iaitu mengenai cadangan mengadakan mesyuarat khas bagi meminda dan menyelaras Perlembagaan Negeri supaya selari dengan pindaan Persekutuan.

"Perkara kedua adalah mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mengisytiharkan kerusi terbabit kosong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi Dap Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, Dun Pulau Pinang harus mengadakan mesyuarat khas untuk meminda dan menyelaraskan Perlembagaan Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan selepas perkenan diraja dan pewartaan pindaan perlembagaan yang melarang Ahli Parlimen melompat parti.

KON Yeow  ketika menghadiri Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
KON Yeow ketika menghadiri Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Kon Yeow berkata, berhubung soal berkenaan, pihaknya ingin melihat terlebih dahulu apakah keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Perlembagaan Negeri adalah sah.

"Itu isu-isu undang-undang biar proses berjalan. Kita juga mahu lihat apakah keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan buat keputusan sedemikian.

"Jadi isu ini kita mahu menunggu perkara ini dirujuk balik dan kita pun sudah minta untuk dapat satu tarikh bicara dengan segera," katanya.

Sebelum ini empat Adun berkenaan memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong Perikatan Nasional.

Mereka adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik atau menyertai parti politik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 10:08 PM